Ahad, 18 Mac 2012

Konsep 'MELAYU'

Pengenalan

'Bahasa Melayu' merupakan nama asal bahasa ibunda sebelum ditukarkan kepada nama 'Bahasa Malaysia'. Banyak para ilmuwan dan pencinta bahasa memberikan pandangan mengenai pertukaran nama 'Bahasa Melayu' ini kepada 'Bahasa Malaysia'. Pada pendapat saya, 'Bahasa Malaysia' sebenarnya sangat rasional digunakan dalam pendidikan generasi kini. Hal ini kerana 'Malaysia' itu menunjukkan satu bahasa kenegaraan iaitu bahasa yang menjadi milik negara kita sendiri. Sama konsepnya dengan bahasa-bahasa dunia lain, contoh yang terbaik adalah negara Jepun yang teguh mempertahankan serta berdiri megah dengan bahasa mereka sendiri. Selain itu, 'Bahasa Malaysia' itu sebenarnya secara perlahan meningkatkan semangat ke'Malaysia'an, dan mampu menyemai rasa cinta rakyat kepada negara kita, Malaysia. 

Menyentuh hal asal usul 'melayu' atau 'Bahasa Melayu' itu sangat sempit kerana kekurangan sumber-sumber sahih mengenai sejarahnya. 

Konsep 'Melayu'

(i) Definisi awal istilah 'Melayu'

Terdapat begitu banyak bukti yang diperoleh para penyelidik bahasa mengenai asal usul istilah 'Melayu'. Dikatakan, para penyelidik mula mendapati bahawa penggunaan perkataan Melayu itu sejak abad kedua lagi iaitu sekitar tahun 100-150 Masihi, M.Ptolemy telah menggunakan istilah maleu-kolom (Bukunya : Geographike Sintaxis).

Di dalam buku Sejarah Melayu pula, perkataan Melayu dikaitkan dengan sebatang sungai yang dinamakan sebagai Sungai Melayu ;

"..adapun Negeri Palembang itu, Palembang yang ada sekarang inilah. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai, Melayu namanya.." (Sejarah Melayu,1977, hlm.16)

(ii) Definisi dari segi etimologi

 Etimologi = Kajian mengenai asal usul dan sejarah sesuatu perkataan serta makna perkataan tersebut.

Daripada sudut kajian etimologi juga terdapat begitu banyak pendapat mengenai istilah 'Melayu' ini. 
Antara pandangan yang mendapat perhatian adalah seperti pendapat Zuber Osman. Beliau berpendapat bahawa perkataan Melayu itu berasal daripada perkataan Malaya yang merupakan kependekan bagi perkataan 'hima laya'. Perkataan alaya bermaksud tempat dan hima alaya membawa maksud 'tempat bersalji. Sehubungan dengan itu, pergunungan Himalaya dikatakan sebagai tempat asal orang Melayu.'

(iii) Definisi berdasarkan bangsa

Istilah Melayu yang merujuk kepada bangsa dapat dilihat dalam dua pengertian, iaitu dalam pengertian yang luas dan dalam pengertian yang sempit.

Dalam pengertian yang luas, istilah Melayu merujuk kepada bangsa -bangsa Austronesia yang terdapat di Kepulauan Melayu. Dalam konteks yang lebih luas, rumpun Austronesia juga meliputi kawasan Austronesia lain, iaitu kawasan di sebelah timur yang merangkum keluarga Polinesia, Melanesia dan Mikronesia.

Bagi pengertian yang sempit pula merujuk kepada istilah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Di bawah Perlembagaan Malaysia Perkara 153, seseorang itu ditakrifkan sebagai bangsa Melayu apabila mereka dapat menuturkan bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu, dan beragama Islam. Dengan demikian, sekiranya orang itu murtad atau bertukar kewarganegaraan, maka taraf 'Melayu' yang disandangnya akan hilang.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya ingin menambah sedikit fakta mengenai konsep Melayu ini. Perkataan melayu ini juga dikatakan tercatat dalam kesusasteraan China. Menurut seorg pngembara China yang singgah di Nusantara, bahasa yang dituturkan di Sriwijaya ialah bahasa K'un-Lun. Bahasa ini tidak sahaja dituturkan oleh penduduk tempatan, tetapi juga dipelajari oleh orang asing untuk memudahkan komunikasi pada waktu itu. Para penyelidik percaya bahasa K'un-Lun itu merujuk kepada Bahasa Melayu Kuno.